Ali Puteh Kenang Susah Payah Bersama Arwah Abam, Pergi Uji Bakat Demi Impian Jadi Pelawak – “Dulu Berlayar Bahtera, Kini Dayung Sendirian”

Pelawak Ali Puteh mengenang kembali pahit getir perjalanan seni yang dicipta bersama arwah abangnya, Allahyarham Abam kira-kira 13 tahun lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Ali memuat naik sebuah video yang mempamerkan kompilasi foto-foto kenangan dia dan bersama Allahyarham Abam dari mula menceburi industri hingga meraih pelbagai kejayaan.

Menurut Ali, pelbagai uji bakat yang disertai mereka untuk bergelar pelawak dan masih kekal hingga kini.

“13 tahun berlalu. Pelbagai duri onak di lalui. Bermula dari 2010 hingga kini.

“Bermula dari angan-angan bersama arwah Abam. Pelbagai uji bakat kami lalui untuk cuba menjadi penghibur dan akhirnya berjaya,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Tambah Ali lagi, dia menyifatkan apa yang dilalui mereka untuk sampai ke tahap ini adalah sebuah pengajaran yang tak ternilai.

Biarpun Abam tiada lagi di sisi, Ali akan meneruskan perjuangan mereka dan terus belajar memperbaiki diri.

“Tapi tu semua tinggal kenangan. Pahit manis, gelak tawa, sedih menangis semua itu pembelajaran.

“Dulu berlayar bahtera, kini mendayung sendirian. Akan ku simpan semua kenangan ini. Belajar dan terus belajar.

“Ikut resmi padi. Makin tunduk makin berisi. Terus mendayung ke destinasi. Sebelum diusung dan tinggal sendiri,” akhirnya.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar yang juga abang Ali Puteh meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.

Khairil Khusyairi