Amyra Rosli Cabar Diri Bawa Watak Gila, Tak Bosan Dengan Babak Air Mata Dalam Drama

Sering membawa watak sedih dalam drama, pelakon Amyra Rosli mengakui dirinya sengaja ingin mencabar diri untuk membawa watak yang berbeza menerusi drama rantaian TV3, Kerasnya Takdir.

Bukan itu sahaja, drama yang dibintangi oleh barisan pelakon hebat ini juga semakin mendapat tempat di hati peminatnya.

Menurut Amyra, drama arahan Emi Suffian ini agak berat untuk dibawa memandangkan ia bermain dengan emosi dan berbeza dengan watak yang pernah dijayakannya sebelum ini.

“Cerita ni sangat berat dan banyak mainkan emosi dan saya perlu menjadi gila. Itu salah satu sebab saya terima untuk buat drama ini sebab saya jarang bawa watak gila ni.

“Mungkin penerbit dan pengarah melihat dari luaran sebab ada waktu saya tidak berhijab, saya perlu membawa watak antagonis. Bila free hair, dia macam-macam boleh buat tapi bila kita dah berhijab watak yang ditawarkan tu mungkin terhad sikitlah untuk menjadi ganas.

“Tapi kalau diikutkan saya memang daripada lebih banyak ke arah watak-watak yang ayu-ayu dan baik-baik ni. Memang ada yang bertanya tak bosan ke bawa watak itu sahaja.

“Tapi saya anggap itu rezeki saya. Cuma saya akan pilih cerita. Kalau saya baru habis buat jalan cerita yang lebih kurang, saya akan ambil gap untuk berehat lama sikit,” katanya.

Sementara itu, aktres itu juga sempat meluahkan rasa terujanya dapat bekerjasama kembali dengan pelakon Redza Rosli menerusi drama ini.

“Alhamdulillah, saya gembira dapat bergandingan dengan Redza sebab saya tahu cara kerja dia ni tak banyak songeh. Dia senang beri kerjasama dan dia sangat memberi.

“Lagi satu sebab dia seorang pelakon yang buat homework. So, takdalah bila dekat set ambil masa yang lama,” jelasnya.

Selain Amyra dan Redza, drama ini juga turut dibintangi oleh Kartina Aziz, Rita Rudaini, Azrel Ismail, Azlee Khairi, Husna Mustaffa dan ramai lagi.

Orang ramai boleh menonton drama Kerasnya Takdir ini menerusi Slot Akasia TV3, Isnin hingga Ahad, jam 7.00 malam, di TV3.

 

Fatin Nurain