Anjur Bengkel Percuma, Kahwin Antara Azam Sherry Alhadad Tahun Depan

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, tahun baharu bakal menjengah lagi. Pasti ramai di antara kita yang sudah siap sedia memasang azam baharu untuk direalisasikan.

Pengacara terkenal, Sherry Alhadad juga tidak terkecuali dalam hal ini.

“Saya ada dua azam baharu untuk tahun 2020. Yang pertama saya mahu lebih kerap turun padang untuk aktiviti kemasyarakatan.

“Kalau boleh saya mahu beri balik apa yang termampu untuk orang di luar sana. Saya akui saya bukan orang senang tetapi akan cuba membantu dengan menganjurkan bengkel bina keyakinan.

“Ramai pengikut di Instagram meminta pendapat bagaimana nak membina keyakinan diri sedangkan ada yang menghina, mengejek saiz tubuh saya yang besar. Insha Allah tahun depan saya nak turun padang dekati golongan ini dan ia akan dibuat secara percuma,” katanya.

Dalam masa sama, Sherry juga memasang niat untuk berkahwin pada tahun depan.

“Calon belum ada cuma saya berdoa dipertemukan dengan lelaki yang terbuka menerima teguran dan pendapat saya. Saya seorang yang mudah menerima sesiapa sahaja dalam hidup, tidak memilih.

“Saya percaya jika diberi masa, jodoh pasti akan datang jua. Macam kolaborasi dengan pengacara Alif Satar. ‘Magik’ tak akan terhasil dalam masa satu hari sahaja. Begitu juga dalam hal jodoh, saya sudi menerima mana-mana lelaki yang ikhlas menjadi pasangan hidup,” akhiri wanita berusia 35 tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Sherry bakal mengacarakan program realiti Dansa Dan Sing yang akan bersiaran bermula 5 Januari 2020.

Oleh: Fas

SGMS Faida