Bakal Pindah Ke Makkah, Zul Ariffin Tak Perlahankan Kerjaya Lakonan

Aktor popular, Zul Ariffin memberitahu dia bakal berhijrah dan menetap di Makkah bermula awal tahun hadapan bagi urusan perniagaan.

Zul atau nama lengkapnya Zulkifli Ariffin berkata, dia tidak akan memperlahankan kerjaya seninya biarpun sudah menetap di tanah suci, sebaliknya akan kembali juga ke Malaysia untuk bekerja.

“Saya akan menetap di sana, tetapi saya pasti akan kembali ke Malaysia untuk berlakon juga.

“Saya perlu bijak memilih. Walaupun sibuk dalam perniagaan, saya tidak akan memperlahankan kerjaya lakonan sebab rugi jika nak perlahankan sebab industri perfileman kita sedang meningkat.

“Saya teruja sebenarnya biarpun penat kerana terpaksa berulang-alik, tetapi tidak mengapa.

“Sekarang saya dalam proses untuk mencari rumah dan uruskan beberapa urusan perpindahan,” ujar Zul.

Bercakap soal perniagaan yang diceburinya, Zul memberitahu dia sudah lama merancang untuk menceburi bidang itu.

“Sebenarnya sudah lama rancang perniagaan ini dan akhirnya termakbul. Perniagaan yang memang bertapak di Makkah itu memerlukan saya untuk tinggal di sana.

“Perniagaan ini adalah hasil kerjasama saya dengan sebuah syarikat di Singapura.

“Rasa teruja kerana lokasi kediaman yang dicari hanya lima kilometer dari Masjidil Haram,” jelas Zul ketika ditemui XTRA pada sidang media filem Talbis Iblis di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zul juga berkata dia akan mengikuti kelas bahasa Arab yang ditawarkan sebuah pusat pengajian tinggi di Makkah.

“Di sana, saya akan belajar di sebuah pusat pengajian yang menyediakan kursus jangka pendek.

“Saya juga akan kekalkan imej berjambang supaya nampak macam orang Arab,” katanya berseloroh.

Terbaharu, Zul tampil membintangi filem seram berjudul Talbis Iblis yang bakal menemui penonton pada 20 Oktober ini di pawagam seluruh negara.

Khairil Khusyairi