Bapa Liza Hanim Meninggal Dunia

Bapa penyanyi Liza Hanim, Abdul Halim Abdul Razak, 73, meninggal dunia akibat kanser di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), sebentar tadi.

Menerusi laman sosial miliknya, Liza memohon orang ramai agar mendoakan arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Sesungguhnya tiada kuasa yang lebih besar dari kuasaNya Yang Maha Besar.

“Ayah saya Haji Abd Halim Haji Abd Razak telah kembali ke rahmahtullah sebentar tadi.

“Dengan rendah diri saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ayah agar ayah ditempatkan di kalangan orang dikasihiNya,” tulisnya.

Allahyarham Abdul Halim disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru tahap empat sejak awal April lalu.

Liza turut memberitahu, jenazah bapanya sudah dibawa pulang ke rumah keluarga di Taman Sri Andalas untuk urusan pengkafanan.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan pada jam 5.30 pagi esok di Masjid Ar-Rahimiah, Klang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Sireh pada jam 9 pagi.

Tiga hari lalu, Liza meluahkan perasaan terkilan menerusi sekeping gambar yang dimuat naik kerana tidak dapat menemani bapanya yang dikejarkan ke hospital menaiki ambulans atas urusan kerja.

Kehilangan ini juga memberi kesan buat penyanyi itu kerana kehilangan bapa mentuanya yang meninggal dunia pada Mei lalu.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Enal