Batal Konsert Coldplay? Perdana Menteri Akan Bincang Dengan Mufti Wilayah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah yang sebelum ini menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang dijadualkan esok.

Menurut laporan Berita Harian, Anwar berkata disebabkan Coldplay adalah kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin.

“Saya akan berbincang dengan mufti kerana ada pelobi-pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) dan kepada pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

“Oleh kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita bersetuju, itu saya akan bincang semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Luqman mendakwa acara itu bukan sahaja melalaikan bahkan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negara ini.

Menurutnya, band asal United Kingdom yang menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) itu jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi