Belum Ada Tarikh Kahwin, Shiha Zikir Libatkan Diri Dalam Bidang Baharu

“Belum ada tarikh, belum ada persiapan tapi perancangan itu ada”

Demikian kata-kata penyanyi Shiha Zikir apabila disoal mengenai adakah dia bakal menamatkan zaman solonya biarpun usianya kini mencecah 36 tahun.

Malah pelantun lagu Irama ini berkata dia tidak tergesa-gesa dalam soal itu dan menganggap banyak perkara baik yang bakal mendatang dalam hidupnya.

“Setiap benda dan yang bertanya, sebenarnya saya segan cakap soal ini sebab saya anggap ia satu doa. Dulu ia sensitif bagi saya, usia makin meningkat.

“Umur saya dah 36, mesti ada perancangan ke arah itu, keluarga juga banyak yang bertanya, jadi saya percaya masanya pasti akan sampai nanti sebab saya tak memaksa ke arah itu lagi.

“Saya seorang yang tak pernah tergesa-gesa dalam apa jua yang saya lakukan. Orang mungkin anggap ia klise tapi itulah diri saya. Prasangka baik, sentiasa positif dan bukan lepas tangan terus.

“Saya dah ada kekasih, sudah 13 tahun bersama, sebelum program Mentor lagi. Saya dah tetapkan saya mahukan perkahwinan yang sehabis ringkas ” ujarnya kepada XTRA.

Shiha ditemui pada majlis pelancaran restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di Wisma Infinitum, Kampung Bharu, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) dengan tertubuhnya restoran Shiha Zikir Nasi Ayam, Shiha menyifatkan ia adalah satu impian dalam kehidupannya.

“Restoran ini adalah satu cabang yang dah lama saya nak buka cuma saya rasa setiap benda baru yang saya nak buka saya tak boleh sendirian. Saya kena ada seseorang yang betul-betul faham dengan dunia makanan dan minuman ini.

“Saya ada rakan kongsi lain yang bantu saya untuk realisasikan impian saya untuk perniagaan ini.

“Apa yang saya boleh katakan, niat saya bukan sekadar untuk berniaga tapi saya harap ini satu jalan saya untuk lebih dekat dengan orang yang memerlukan. Itu niat utama saya.

“Kita pula dah dekat dengan Ramadan, jadi ini adalah masa yang sesuai untuk saya lancarkan perniagaan ini,” ujarnya teruja.

ARTIKEL BERKAITAN:  “Ada Yang Stress Sampai Nak Buat Benda Tak Patut” – Shiha Zikir Dedah Sering Terima DM Orang Alami ‘Mental Illness’ Gara-Gara…

Khairil Khusyairi