Bergelar Anak Seni Tak Jadi Penghalang Farisha Iris Tetap Utamakan Pendidikan

Setelah dua tahun menanti, akhirnya penyanyi dan pelakon, Farisha Iris menerima diploma dalam bidang komunikasi dan media pada majlis konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada 20 Jun lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram, Farisha berkongsi momen indah Istiadat Konvokesyen Ke-93 yang tertangguh selama dua tahun akibat pandemik dan menceritakan perjalanan sepanjang meniti kejayaan dalam pelajaran.

“Alhamdulillah, dua tahun tunggu convocation diploma. Selesai Diploma in Mass Communication, @ Fakulti Komunikasi dan Media, UiTM Alor Gajah 2018 – 2020.

“Bukan mudah, tiada apa yang mudah. Terima kasih ibu bapa saya, my family, my best friends, my classmates kerana banyak membantu dan memberikan semangat. I tak pernah rasa bosan sambung belajar, it was challenging but worth it.

“Jom kita sambung master pula Insya-Allah. Now I have to wait another two years untuk my degree convocation,” tulisnya.

Penyanyi itu turut memaklumkan dia telah melanjutkan pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana muda sejurus habis diploma.

“Sejurus tamat pengajian, saya terus menimba ilmu peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan perhubungan awam di universiti sama iaitu di kampus induk di Shah Alam,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Farisha turut menegaskan dia tidak mengambil remeh tentang pendidikan biarpun memilih menjadi anak seni.

“Kerjaya seni yang semakin berkembang tetap menjadi keutamaan saya. Fokus saya adalah untuk menjadi penghibur disegani.

“Namun, bidang akademik juga sama penting. Saya amat menitikberatkan pendidikan dan pada masa sama, tunjukkan kecemerlangan sebagai penyanyi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain