Berlakon Dengan Fazura Dalam Pendekar Awang, Fattah Amin Akui Lebih Semangat – “Sentuhan Isteri Itu Menghidupkan Karakter”

Pelakon, Fattah Amin mengakui watak isterinya, Nur Fazura dalam filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah sebagai Sayang membantunya menghidupkan karakter.

“Sebagai watak suami isteri sebenarnya memudahkan, isteri yang berada dibelakang suami memberi semangat dalam kehidupan sebenar pasti ada sentuhan.

“Perkara itu akan lebih membakar semangat si suami. Bila berlakon dengan Fazura watak sebagai isteri kepada Awang, sebenarnya sentuhan itu memberi banyak bantuan untuk menghidupkan karakter masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Fattah tidak menafikan pasti ada pihak yang akan membuat perbandingan antara filem Mat Kilau dan filem Pendekar Awang.

Justeru, sebagai pelakon utama dia telah sedaya upaya berusaha untuk membuat perbezaan kedua-dua watak tersebut.

“Daripada mula sebelum mula penggambaran, saya tahu akan kena buat kelainan dari Mat Kilau.. Saya dah buat yang terbaik atas bantuan dari direktor, produser, jalan cerita filem yang banyak dibantu oleh orang lain,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Fattah berkata ketika membuat ‘dubbing’ (alih suara) untuk filem tersebut dia berada dalam keadaan tidak sihat sehingga kehilangan suara.

Dek kerana itu, suara watak Awang dalam video tersebut menjadi mendalam dan seakan ‘meneran’.

“Ada part waktu dubbing suara tengah hilang, saya sakit tekak waktu tu kita nak kejar masa untuk keluarkan filem. Ada setengah babak suara saya masih belum sembuh.

“Kalau dengar suara serak tu saya tengah hilang suara. Tapi tak dinafikan, mungkin juga untuk kelainan watak,” ujarnya lagi.

Fattah berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh negara bermula pada 11hb Januari 2024.

Pendekar Awang Darah Indera Gajah ini merupakan sekuel kepada filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan atau prekuel kepada filem Mat Kilau 2 yang akan dibikin pada masa hadapan kelak.

Aqilah Paharuzi