“Biar Rugi Didunia Jangan Rugi Diakhirat” – Selepas Berhijrah, Rico Rinaldi Hilang Pelanggan… Rugi Lebih RM35,000, Netizen Titip Kata Semangat!

Pereka fesyen terkenal, Rico Rinaldi mendedahkan dirinya kerugian kira-kira lebih RM35,000 selepas membuat keputusan untuk tidak mahu lagi menghasilkan busana seksi akibat 10 pelanggan membatalkan tempahan mereka.

Rico menerusi ciapan panjang di Twitter miliknya berkata, dia tidak kisah dengan kerugian yang dialami serta menganggap perkara yang perlu dilaluinya kini adalah satu pengorbanan besar untuk mendapat keberkatan rezeki dan keredaan Allah SWT.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] “Hijrah & Pengorbanan Kecil Saya…” – Penjelasan Ustazah Asma’ Buka Mata Rico Rinaldi, Kurangkan Reka Baju Seksi 

Menerusi ciapannya yang tular di serata media sosial, Rico berkata kehilangan pelanggan diibaratkan sebagai satu tamparan hebatnya untuk terus berkecimpung dalam industri fesyen ini.

“Kalau semua nak tahu, bila saya buat keputusan ini sebaik sahaja saya dapat penjelasan daripada Ustazah Asma’ Harun, hampir 10 orang customer minta deposit booking balik.

“Fuh, satu tamparan hebat pernah aku alami. Bayangkan satu customer kau boleh dapat paling busuk RM3,500 – RM5,000.

“Tu paling basic untuk baju nikah. Tapi semua minta cancel,” tulisnya.

Sementara itu, Rico turut berkata dia tidak menyangka rezekinya akan lesap dalam sekelip mata namun tetap percaya dengan aturan kehidupan serta menegaskan tidak mahu dipersoalkan tentang keberkatan pendapatnya di akhirat kelak.

“Time hantar text dekat manager saya tentang ‘hijrah kecil’ saya, hati saya sangat kuat dan yakin. Tapi tak sangka rezeki terus ‘hilang’ sekelip mata. Tapi tak, saya percaya seperti mana yang ustazah cakap.

“Rezeki yang berkat itu bukan manusia yang bagi, tapi Allah. Rezeki berkat itu luas, dia bukan banyak tapi dia boleh bawa ke syurga.

“Saya cuba istiqomah dan saya amat mengharapkan doa dan sokongan semua. Pelan pelan saya belajar, insya-Allah customer akan faham,” luahnya.

Menerjah ke ruangan komen ciapan tersebut, rata-rata daripada pengikutnya menitipkan kata-kata semangat pada Rico agar terus bersemangat.

Ada dalam kalangan mereka mengucapkan terima kasih kepada Rico kerana sanggup untuk melakukan sesuatu perubahan terbesar sebagai seorang pereka fesyen yang amat dikenali di serata tanah air ini.

Aqilah Paharuzi