“Buatlah Sol… Confirm 100 Juta Billion Tiket Sold Out…”- Selepas Mat Kilau, Syamsul Yusof Bakal Tampil Dengan Filem Pasir Salak?

Pengarah terkenal, Syamsul Yusof memaklumkan beliau tidak akan menolak sekiranya diberi kesempatan dan keizinan untuk meneruskan penggambaran filem Pasir Salak yang juga merupakan filem peninggalan arwah Datuk Jins Shamsuddin.

Namun, beliau memaklumkan lebih memilih untuk menerbitkan kisah epik terbaik bersesuaian dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

“Saya mahu menghasilkan filem yang mampu mempertingkatkan kualiti dan mencabar kreativiti saya sebagai pengarah serta penulis. Untuk ini, ia memerlukan kos yang tinggi.

“Namun, saya tidak menafikan ramai meminta saya menghasilkan filem Datuk Maharajalela iaitu tokoh terkenal di Pasir Salak. Garis masa kisahnya juga 20 tahun sebelum Mat Kilau. Boleh dikatakan kisahnya agak relevan,” katanya.

Sementara itu, Syamsul juga berkongsi bahawa anak Allahyarham Datuk Jins sudah memberikan ‘green light’ kepadanya untuk meneruskan filem tersebut.

“Saya sudah berbincang dengan anak arwah Jins. Dia menghubungi saya meminta meneruskan filem Pasir Salak, saya fikir kenapa tidak? Ini kerana ia niat murni, memandangkan arwah sudah membuat kajian.

“Arwah juga pernah menerima dana, tetapi tidak mencukupi. Ekoran itu, projek berkenaan tergendala.

“Skrip asal dan ‘props’ seperti senjata sudah ada, cuma tinggal menyambung penggambaran sahaja,” jelasnya.

Memetik laporan Berita Harian, anak kepada pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam itu juga turut menganggarkan bajet berjumlah RM20 juta untuk menjayakan filem pahlawan itu sesuai standard dan kualiti filem.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat memberikan respons yang positif terhadap perkara ini, bahkan ada diantara mereka percaya bahawa Syamsul mampu mengembalikan kejayaan filem Mat Kilau menerusi filem Pasir Salak – King Of The River yang dirancang sejak 1993.

 

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin