“Bukan Saya Jual Mahal…” – Putus Atau Terus, Rossa Sera Akui Hati Masih Terluka

Isteri kepada pelawak Shuk Sahar iaitu Rossa Sera mengakui hati masih terluka dengan perbuatan suaminya yang pernah berlaku curang terhadap dirinya.

Menerusi perkongsiannya di sesi siaran langsung TikTok, Rossa memberitahu belum dapat membuat keputusan sama ada hendak kembali bersama suami atau memilih jalan perpisahan.

“Bukan kerana saya jual mahal atau tidak menghargai usaha Shuk, cuma sudah banyak yang berlaku. Hati ini masih lagi terluka,” katanya.

Bagaimanapun, dia berharap agar peminat terus memberikan sokongan kepada mereka berdua.

“Sudah banyak kali sebenarnya soalan ini diajukan, tetapi saya tidak dapat memberikan jawapan yang tepat lagi.

“Walaupun kami masih lagi bersama atau tidak, saya berharap anda semua dapat memberikan sokongan walau apa jua keputusan yang kami ambil,” ujarnya.

Tambah Sera, apa sahaja keputusan daripada mahkamah, dia dan Shuk mahu lebih bertanggungjawab dalam menguruskan hal anak-anak mereka.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 6, dan Nur Assyifatu Aimi, 3.

Namun, pada November lalu, Sera memfailkan cerai terhadap Shuk kerana didakwa curang dan kemelut rumah tangga mereka masih belum menemui titik noktah.

Maya Basir