Cecah RM300,000, Mila Jirin Syukur Jadi Pembayar Zakat Di Selangor… Sasar RM1 Juta Untuk 10 Tahun Akan Datang

Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin meluahkan rasa syukur apabila menjadi pembayar zakat perniagaan di Selangor menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bercakap kepada XTRA, Mila atau nama lengkapnya, Nursyamila Jirin memaklumkan bukan sahaja membayar zakat di Selangor namun di seluruh negeri yang mempunyai syarikatnya, Bizmilla Catering Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah saya pembayar zakat di Selangor. Bukan sahaja di Selangor tetapi di semua cawangan-cawangan Bizmilla kami akan menzahirkan juga.

“Kalau di Pulau Pinang, kami akan bayar di sana dan juga cawangan-cawangan yang lain. Pada saya yang membantu kita untuk membayar zakat adalah para pelanggan.

“Mereka menyokong kami dan kami agihkan semula kepada komuniti setempat,” katanya kepada pemberita.

Mila ditemui pada majlis Santai Selebriti bersama Mufti Selangor di Shah Alam, semalam.

Hadir sama dalam majlis ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir dan Ketua Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

Kongsi pelantun lagu Aku Lebih Tahu ini lagi, dia juga turut mendapatkan bantuan LZS bagi urusan perkiraan zakat.

“Di Selangor kami mempunyai 10 buah banquet hall dan seluruh Malaysia berjumlah 18 buah.

“Saya memang serahkan urusan zakat ini kepada bahagian kewangan di Bizmilla, Lembaga Zakat Selangor juga beri bantuan untuk memudahkan dengan membuat perkiraan yang betul.

“Pada saya, saya tak kisah pun kerana itu adalah amanah kita untuk membayar zakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mila turut menyasarkan untuk membayar zakat sebanyak RM1 juta bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Di Johor Bahru kami juga baru bermula dengan RM30,000 lebih, begitu juga di Pulau Pinang.

“Setakat ini Alhamdulillah, bila campur adalah mencecah ratusan ribu setiap tahun tapi tidak mencecah jutaan, doakan ya.

“Sasaran saya 5 tahun ini adalah RM500,000 dan Insya-Allah dalam tempoh 10 tahun sasarkan RM1 juta untuk zakat,” tutupnya optimis.

Bizmilla Catering Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Nursyamila Jirin atau dikenali Mila Jirin mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM365,268.73.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nyanyi Lagu Dawai Secara Spontan, Mila Jirin Buat Ramai Terpukau – “Suara Maintain Macam Dulu, Sedap!”

Khairil Khusyairi