Dahlan Zainuddin Meninggal Dunia

Selepas empat hari koma, penyanyi era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang, pada jam 9.48 malam tadi.

Isterinya, Datin Effa Rizan memberitahu, beliau dan anak-anak berada di sisi Allahyarham sehingga detik terakhir.

“Allahyarham pergi di hadapan saya dan anak-anak. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, selepas solat zohor, esok,” katanya kepada BH Online.

Selain Effa, Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Natasha Idha, Mohd Danial dan Nur Athinia Ines.

Effa berkata, selain beliau dan anak-anak, teman rapat Allahyarham seperti Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave turut berada di hospital.

Allahyarham yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan dilaporkan koma selepas diserang angin ahmar, Sabtu lalu.

Mengimbas detik cemas itu, Effa berkata, beliau dan suaminya sedang asyik berbual sebelum Dahlan tiba-tiba senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi.

Sebelum ini, keadaan kesihatan Allahyarham agak stabil, malah masih mampu memenuhi undangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim.

Empat tahun lalu, Dahlan pernah diserang strok yang mengakibatkan lumpuh sebelah kiri. Pada kejadian terbaru, Allahyarham diserang buat kali kedua di bahagian kanan pula ketika menanti waktu berbuka puasa.- BH Online.

SGMS Faida