Categories: HiburanSelebriti

Dayang Nurfaizah Terbang Ke Budapest Demi Belagu II

Dengan harapan Belagu II akan menawarkan pengalaman muzik penuh keunikan, penyanyi Dayang Nurfaizah terbang ke Budapest, Hungary pada September 2022 untuk merakamkan kesemua muzik bersama Budapest Scoring Orchestra (BSO).

Secara kebetulan, di saat album Belagu diiktiraf pencapaiannya di Anugerah Industri Muzik 23, Dayang juga sedang berada di Budapest menyaksikan sendiri momen keemasan lagu-lagu klasik Melayu Belagu II dimain dan dirakamkan oleh oleh ramai pemuzik di bawah naungan maestro muzik Péter Illényi dan ia dilangsungkan di Rottenbiller Hall, salah satu studio ikonik di Budapest.

“Saya gembira dapat bekerja dengan BSO untuk satu persembahan orkestra yang sangat cemerlang untuk lagu-lagu klasik Melayu, skil dan teknik yang tiada tolok bandingnya.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi Belagu II dengan semua di luar sana. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua di BSO yang mencurahkan bakat dan pengalaman mereka sepenuh hati untuk projek ini,” kata Dayang.

Belagu II adalah sebuah album dengan sembilan lagu dan diterbitkan sendiri oleh syarikat milik Dayang, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak ini mempunyai matlamat untuk memperkenalkan dan merapatkan generasi baharu dengan lagu-lagu klasik Melayu.

“Demi memastikan objektif ini terlaksana adalah penting untuk kualiti muzik yang dihasilkan seiring dengan kehendak dan selera pendengar hari ini. Atas penerimaan Belagu yang sangat positif, saya dan pasukan kerja sedar bahawa kami perlu lakukan sesuatu yang lebih besar untuk sajian kepada penggemar muzik.

“Impian ini diterjemahkan menerusi Belagu II, satu produksi muzik yang sangat tinggi cita-cita dan harapan yang mahu membawa satu pengalaman menikmati muzik yang lebih mengasyikan.

“Sebagai hadiah buat peminat, album ini juga disempurnakan dengan satu lagu baharu, Rindu Menyapa dicipta oleh Aubrey Suwito dan lirik dihasilkan oleh Datuk Habsah Hassan,” katanya.

Padin

Recent Posts