Dedah Kriteria Jejaka Pilihan, Nabila Razali Tak Kisah Jodoh Pilihan Keluarga – ” Kalau Ada Yang Mahu Kenal, Saya Okay Je”

Pelakon dan penyanyi, Nabila Razali mengaku timbul sedikit kerisauan apabila usianya kini meniti angka 30 tahun, namun masih belum bertemu calon yang sesuai untuk dijadikan jodoh.

Bagaimanapun, dia enggan terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut sehingga menjadi beban untuknya.

“Dari dahulu sampai sekarang, siapa yang kenal saya akan tahu saya seorang yang kuat bekerja. Jadi memang tiada masa untuk fikir soal cinta dan jodoh.

“Buat masa sekarang, saya belum lagi terfikir untuk berumah tangga. Tapi tipulah kalau tidak ada terfikir langsung. cuma saya lebih fokus pada kerja,” katanya.

Nabila berkongsi mengenai perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Berbuka Puasa Universal Music Bersama Anak Yatim baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelantun lagu Peluang Kedua ini menegaskan, dia masih berpegang pada matlamat utamanya iaitu untuk mencari rezeki dalam bidang yang diceburi demi menyara keluarga.

“Saya pernah cakap, niat pertama saya menceburi dunia seni sebab nak cari duit. Saya masih ada keluarga untuk ditanggung.

“Banyak lagi perkara yang belum saya buat dalam industri ini. Hendak menjaga satu hati lagi pun memerlukan tanggungjawab juga,” jelasnya.

Meskipun tidak terlalu memilih soal jodoh aturan keluarga ataupun kriteria lelaki idamannya, pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali memaklumkan, biarlah lelaki yang menjadi imamnya nanti menerima dirinya seadanya, ikhlas dan faham kerjaya seninya.

“Saya juga percaya jodoh yang diaturkan keluarga. Saya tidak kisah, asalkan hati dia ikhlas dan faham kerja saya.

“Kalau ada yang mahu mengenali, saya okay sahaja. Tentang ciri-ciri lelaki idaman, kalau dulu banyak. Tapi bila dah semakin meningkat umur, saya dan kurangkan kriteria tersebut.

“Insya-Allah kalau ada jodoh, pasti akan datang dan saya tidak akan simpan sendirian,” ujarnya.

Salma Syahbuddin