Demi Nafkah Anak-Anak, Hafidz Roshdi Kesal Individu Hina Pekerjaan

Pelakon Hafidz Roshdi mendedahkan, dia kini mempunyai pekerjaan baharu dibawah perkhidmatan penghantaran popular di Malaysia.

Bagaimanapun, dia kesal apabila ada segelintir pihak yang menghina pekerjaannya itu.

“Saya happy je kerja dengan @Lalamovemy tapi saya terbaca ada pihak yang menghina kerja saya ini,” katanya.

Hafiz berkongsi mengenai perkara itu menerusi muat naik di Instagram Story miliknya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Hafidz atau nama penuhnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, berharap agar semua peminat dan orang ramai di luar sana sentiasa mendoakan kesihatannya agar dapat berkhidmat dan mencari pendapatan demi nafkah yang halal untuk dua orang anaknya.

Terdahulu, bekas isterinya, Nurul Shuhada mendedahkan Hafidz culas membayar nafkah anaknya dan hanya memberikan RM100 sahaja untuk setiap anak mereka iaitu, Humairah dan Umar.

Namun, pada Mac lalu, Shuhada memaklumkan, Hafidz bagaimanapun telah menaikkan jumlah bayaran nafkah kepada anaknya iaitu sebanyak RM200 sebulan.

Sekadar info, Hafidz mendirikan rumah tangga bersama Shuhada pada 30 April 2016 dan kemudian bercerai talak satu pada 27 Julai 2023.

Hafidz bagaimanapun bernikah semula dengan kekasih lamanya iaitu Athira Yuhada  pada 15 Disember tahun lalu selepas pelbagai konflik timbul melibatkan rumah tangganya.

Salma Syahbuddin