Didakwa Mabuk & Bersikap Tidak Profesional, Syasya Dolla Tampil Beri Penjelasan – “Memang Ada Hidangkan Alkohol…”

Ahli kumpulan Dolla, Syasya menerima kecaman netizen kerana didakwa mengambil minuman keras semasa hadir ke sebuah acara.

Memetik laporan mStar, Syasya atau nama sebenar Noorsyasya Afiqah Sharizal, 22, menafikan video tular itu dan mengatakan ianya fitnah yang bertujuan untuk menjatuhkan imejnya.

“Video itu dah lama, ia dirakam ketika saya menghadiri acara melibatkan artis luar negara. Memang ada dihidangkan alkohol namun saya tidak pegang atau minum.

“Jadi kenyataan yang kononnya mengatakan saya mabuk itu adalah satu fitnah. Tiada video pun yang memperlihatkan saya minum. Kalau betul ada bukti, saya akan jelaskan,” katanya.

Selain itu, namanya juga turut diperkatakan apabila dilihat tidak profesional dan bersikap sambil lewa semasa temu bual bersama media.

Menurut Syasya, suntingan video yang tular di media sosial itu hanyalah salah faham.

“Kalau lihat video penuh, saya sentiasa senyum sepanjang temu bual itu dan saya berpewatakan seperti biasa.

“Mungkin disebabkan suntingan yang tersebar di media sosial, ramai yang salah faham.

“Saya minta maaf kalau ada yang anggap saya kurang ajar. Selepas ini saya akan lebih profesional,” ujarnya.

Sementara itu, Syasya memohon orang ramai agar tidak mudah membuat andaian tanpa sebarang usul periksa.

“Orang-orang kenal rapat pasti tahu saya tidak akan melakukan perkara yang boleh memudaratkan populariti Dolla, nama baik agama dan keluarga.

“Saya bekerja mencari duit dan keluarga percayakan saya. Saya minta maaf jika yang tersebar sebelum ini menjadi ajaran buruk kepada golongan remaja.

“Tidak semua perkara di Internet boleh dipercayai. Perkara yang tersebar sebelum ini bukanlah diri saya yang sebenar,” jelasnya.

Maya Basir