Didakwa Tiada Rasa Empati, Netizen Berang Dr. Sheikh Muszaphar Beri Tips Pujuk Isteri Tambah Anak

Tindakan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 49, yang memuat naik sebuah hantaran yang berkongsi tips memujuk isteri untuk hamil dan mempunyai ramai anak telah mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen.

Sehingga kini, perkongsian tersebut masih tular di ruangan media sosial dan telah menimbulkan rasa kurang senang daripada segelintir netizen yang menyifatkan tips Muszaphar itu seakan tiada rasa empati kepada isteri yang menangung kesakitan bersalin.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, isu berkenaan semakin menjadi perbualan hangat lebih-lebih lagi selepas Muszaphar membalas komen salah seorang pengikutnya yang mengadu pengalaman melahirkan anak adalah satu pengalaman yang amat menyakitkan.

“Suami saya cakap yang sama juga tapi bila terbayang sakit meneran terus tak jadi. Biarlah seorang.

“Bayangkan lepas bersalin hampir sebulan mimpi masuk bilik OT. It takes two to tango,” luah pengikutnya.

Komen tersebut dibalas oleh Sheikh Muszaphar yang berkata:

“Kegembiraan melihat anak untuk pertama kali mengalahkan segala kesakitan,” tulisnya.

Namun, kenyataan Sheikh Muszaphar itu telah mendapat perhatian sesetengah individu yang berang dan meluahkan rasa tidak puas hati kerana menurut mereka kesakitkan bersalin tidak dirasai oleh suami.

“Macamlah dia yang mengandung sembilan bulan, menahan sakit contraction dan meneran atau kena belah kalau czer,” ujar netizen.

“Saya tidak kisah tentang dia merancang keluarga tetapi saya rasa dia tidak patut buat kenyataan seperti ini kerana bukan dia yang alami kesakitan bersalin,” kata seorang lagi netizen meluahkan pandangan.

Bagaimanapun, tidak semua netizen memandang negatif mengenai perkongsian Sheikh Muszaphar, ada juga dalam kalangan netizen yang mengambil nasihat dan memandang positif terhadap tips berikut kerana menurut mereka, beliau dan isteri, Datin Dr. Halina Mohd Yunos adalah pasangan suami isteri yang berkemampuan untuk menyara sebuah keluarga yang besar.

Malah, ada juga yang seakan memberi tanda hormat kepada Sheikh Muszaphar kerana dapat dilihat beliau sangat menghormati dan menjaga keperibadian seorang isteri yang banyak berjasa dalam melahirkan anak-anak beliau.

Untuk rekod, Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina telah mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010 dan kini mereka dikurniakan empat cahaya mata, anak kembar lelaki dan anak kembar kedua sepasang.

Aqilah Paharuzi