Dikutuk Gara-Gara Perut Buncit, Ini Respons Padu Emma Maembong

Pelakon Emma Maembong tampil bersuara apabila terdapat segelintir netizen meninggalkan komen kasar di ruangan Instagram miliknya.

Menerusi hantaran terkini di platform berkenaan, Emma atau nama penuhnya, Fatimah Rohani Ismail, 31, kelihatan anggun mengenakan busana berwarna hitam (glitter dress) bersama suaminya, Muhammad Shazli Azhar ketika majlis resepsi perkahwinan kakaknya, Shikin Maembong baru-baru ini.

Namun, hantaran tersebut mengundang pelbagai tanda tanya dalam kalangan netizen apabila ada yang tampil memberikan komen dengan mengatakan perut aktres itu kelihatan buncit.

 

Tidak melatah dengan teguran yang diberikan, Emma dilihat membuat komen balas pada salah seorang pengikutnya.

“Baru nak masuk 3 bulan, biasa lah… But, kejap je nanti turun lagi. Cuma yang beria kutuk tu rupa tetap sama,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian XTRA, pelakon drama Remang itu telahpun memadam komen negatif yang ditinggalkan individu berkenaan di ruangan Instagramnya.

Terdahulu, Emma mencuri perhatian apabila dikatakan tidak menjalani proses berpantang selepas melahirkan anak keduanya, Shakil  Aryan Shah pada 10 Mei lalu.

Salma Syahbuddin