Disamakan Dengan Nobita? Ismail Izzani Tak Kecil Hati – “Saya Rasa Bangga Sebab…”

Penyanyi, Ismail Izzani mengakui tidak mudah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai watak utama dalam drama rantaian Bukan Hanya Sekadar Cinta arahan Datuk A. Aida.

Drama yang kini telah disiarkan di slot Akasia TV3 itu mendapat pelbagai respons kurang menyenangkan oleh penonton sehingga menyamakan Ismail seperti watak Nobita dalam siri animasi, Doraemon.

Pelantun lagu Sabar itu bagaimanapun tidak memandang komen tersebut sebagai satu perkara yang serius, malah bersikap terbuka terhadap segala tohmahan yang diterimanya.

Bidang lakonan bukanlah tujuannya berkecimpung dalam industri seni, namun jelas Ismail dia berasa bangga kerana berani mengambil cabaran dan keluar dari zon selesa.

“Ini pertama kali saya memegang watak utama dalam sebuah drama, satu tanggungjawab yang besar.

“Saya dah bersedia untuk mendengar segala komen netizen. Ada yang kata muka saya tak sesuai berlakon watak Hero, dan samakan dengan Nobita.

“Nobita itu adalah watak utama dalam drama animasi popular Doraemon. Bila orang tengok drama saya teringat Nobita, saya rasa bangga.

“Saya tidak terluka apabila menerima komen seperti itu sebab saya pernah dapat komen yang lebih teruk lagi.

“Saya sejujurnya tidak memandang perkara tersebut terlalu serius dan ambil perkara positif. Saya sudah cuba yang terbaik, dan berlakon bukan cabang seni kegemaran saya.

“Saya adalah seorang penyanyi yang berani mengambil cabaran untuk memegang watak utama. Apa yang saya boleh katakan, saya dah cuba yang terbaik hasil pertolongan rakan-rakan artis,” katanya.

Ismail ketika ditemui di Karnival Jom Heboh di Perkarangan Stadium Shah Alam baru-baru ini berkata ibunya memberi sokongan dan dorongan penuh untuk berkecimpung dalam lakonan.

“Saya dah setahun tak aktif di mana-mana platform dan masuk televisyen. Pada awalnya memang tak berani, tapi atas pujukan mama saya cuba juga,” ujarnya.

Selain Ismail sebagai teraju utama, drama Bukan Hanya Sekadar Cinta turut menampilkan pelakon dari Singapura, Sofia Dendroff dan dibantu Muaz Zabir, Daniella Sya, Syamim Farid dan Liza Abdullah.

Drama 28 episod terbitan A Aida Production Sdn Bhd itu ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7 petang, mulai 24 Mei lalu.

Aqilah Paharuzi