Disuruh Pakai Seksi Depan Seorang Pengarah, Sarimah Ibrahim Dedah Pernah Kena Gangguan Seksual

Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim mengakui pernah berdepan gangguan seksual ketika mula-mula terlibat dalam industri hiburan dulu.

Memetik laporan Harian Metro, dia diganggu seorang lelaki yang merupakan kru semasa mengacarakan satu program pada masa itu.

“Individu terbabit menghampiri saya dengan alasan untuk membaiki mikrofon, tetapi dia sebaliknya memegang bahagian dada saya.

“Saya terpaksa senyum seolah-olah tidak terkesan dengan situasi itu. Dia sempat memuji saya cantik ketika itu. Dia juga kata kami akan nampak hebat jika bersama tapi dia sudah berkahwin,” katanya.

Menurutnya lagi, lelaki tersebut turut mengajak dirinya bercuti bersama sebagai syarat untuk kekal menjadi pengacara musim berikutnya.

Bukan itu sahaja, Sarimah turut mendedahkan dia pernah diminta untuk mengenakan pakaian seksi di depan seorang pengarah.

“Ada sekali itu, seorang pengarah suruh saya masuk bilik pakaian untuk rancangan itu. Dia suruh saya pakai baju seksi dan sudah siapkan baju-baju untuk saya pamerkan dalam bilik itu.

“Saya tanya kenapa saya kena pamerkan di dalam bilik ini bersama pengarah itu secara seorang diri. Situasi itu sangat aneh.

“Saya tak nak dan enggan menunjukkan bahagian lengan. Selepas itu saya tak dapat tawaran seterusnya tapi ada rezeki lain selepas itu,” jelasnya.

Maya Basir