Dolla Cemas Didekati Tiga Lelaki ‘Claimed’ Polis – “Paksa Bagi IC, Ambil Gambar Kami…”

Kumpulan Dolla berkongsi detik cemas apabila didekati tiga lelaki yang mencurigakan sewaktu menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah selepas selesai latihan menari pada jam 11.30 malam tadi.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya takut jika mereka akan di rompak kerana lelaki-lelaki tersebut memberi pandangan yang menakutkan.

“Tiga lelaki dalam kereta jenis Proton berwarna merah itu memperlahankan kereta di sebelah kami. Mereka kemudian menurunkan cermin kereta dan merenung kami agak lama membuatkan kami tidak selesa,” katanya.

Menurut mereka, tiga lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mula menyoal siasat.

Malah, mereka memaksa Dolla untuk menunjukkan kad pengenalan masing-masing.

“Apa yang mencurigakan, mereka mengaku sebagai anggota polis tetapi tidak menunjukkan kad kuasa. Mereka juga tidak memakai pakaian seragam polis dan tidak menaiki kereta peronda polis.

“Mereka bertanya sekiranya kami orang Malaysia dan memaksa untuk ambil kad pengenalan kami, ambil gambar kad pengenalan dan gambar kami secara senyap tanpa pengetahuan. Kami rasa sangat teraniaya.

“Bila Syasya bertanya kenapa tiba-tiba nak periksa kami, seorang daripada mereka menjawab kasar dengan berkata, ‘Kenapa tak boleh? Kami polis!’ Kami bingung dan takut kerana kami tidak lakukan apa-apa kesalahan,” jelasnya.

Tambah mereka lagi, lelaki tersebut segera meninggalkan kami selepas melihat sebuah kereta berhenti berhampiran kami tanpa memberi sebarang penjelasan mereka disoal siasat.

“Kami tak tahu jika situasi ini adalah sesuatu yang betul atau ‘scam’. Kalau ada sesiapa yang pernah mengalami perkara ini, tolong beritahu dan jelaskan bagaimana tangani situasi begini.

“Tolong berhati-hati di luar sana semua, terutama golongan wanita,” ujarnya.

Maya Basir