Dukung Anak Seberat 30 KG Punca Achey Kena Slip Disc – “Bukan Nak Salahkan Tiara Tapi…”

Pelawak Achey memberitahu sudah menjalani pembedahan masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc di sebuah hospital di Batu Pahat, Johor.

Memetik laporan Kosmo, punca dirinya menghidap masalah kesihatan tersebut antaranya adalah kerana membawa beban berat seperti mendukung anaknya, Tiara.

“Puncanya adalah saya banyak angkat benda berat. Saya ada kedai motor dan kadang-kadang motor pelanggan saya selalu tolak naik ke kereta pacuan roda 4×4.

“Anak saya pula sekarang semakin semangat dengan berat 30 kilogram (kg). Jadi, saya selalu dukung naik sehingga tingkat tiga.

“Bukanlah mahu salahkan Tiara, tetapi memang doktor cakap itu antara salah satu punca,” ujarnya.

Meskipun keadaannya semakin membaik, Achey atau nama sebenar Mohd. Nasir Hamzah masih perlu menjalani rawatan fisioterapi secara berkala.

“Sekarang sudah kembali okey. Namun, setiap pagi saya harus menjalani fisioterapi sama ada berjumpa doktor atau buat sendiri di rumah.

“Saya pun tidak begitu teruk cuma membengkak sikit, tetapi kebas setiap masa walaupun tidak buat apa-apa,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga terpaksa mengurangkan aktiviti babak lakonan lasak demi menjaga tulang rawannya.

“Selepas ini benda-benda lasak saya akan kurangkan untuk jaga kesihatan. Namun, sebagai anak seni apabila ditawarkan melakukan sesuatu kelainan pasti saya mahu lakukan.

“Semua itu hanya untuk kepuasan sebagai pelakon dan mahu tunjuk kebolehan yang mampu dilakukan,” jelasnya.

Terdahulu, rakan seperjuangan, Fad memaklumkan Achey dimasukkan ke hospital mengalami masalah sakit pada bahagian belakang badan.

Maya Basir