Eizlan Yusuf Sebak Ingat Pesanan Anak

Pelakon dan aktivis Datuk Seri Eizlan Yusuf bersyukur apabila hajatnya untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan bencana Sulawesi Tengah, Palu, Indonesia dipermudahkan kali ini.

Kata Eizlan yang merupakan anggota sukarelawan di bawah CDERT Ohhsem Network, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dia sepatutnya menyertai dua misi sebelum ini namun atas kekangan waktu, hasratnya terpaksa dilupakan seketika.

“ Alhamdulillah saya berpeluang menyertai misi kali ini. Semua berjalan lancar. Saya juga membuat persiapan mental dan fizikal sebulan sebelum berangkat,” katanya.

Bapa tunggal tiga anak ini turut dilihat hampir mengalirkan air mata sebelum berangkat, semalam.

“ Anak -anak sempat berpesan dan berdoa untuk keselamatan saya. Anak pertama dan kedua, Zaara dan Zareef memberi kata-kata semangat dan beberapa keping nota mengandungi doa untuk saya amalkan selama berada di sana.

“ Zareef memberitahu dia mendoakan saya dalam setiap solatnya,” katanya sebak.

Eizlan turut berharap anak-anaknya bakal mengikut jejak langkahnya sebagai sukarelawan malah mungkin lebih jauh apabila dewasa kelak.

“ Doa saya agar satu hari nanti, mereka mampu lakukan lebih baik daripada apa yang saya lakukan hari ini,” akhirinya.

Turut bersama beliau ialah Yang Amat Setia Ketua Pesuruhjaya (PA) Datuk Roslan Bin Wahab, Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (PA) Datuk Musa Bin Omar yang juga Penasihat CDERT Ohhsem Network, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Fyzal Fauzy, Komander CDERT Ohhsem Network dan enam anggota APM tetap dan bersekutu.

Misi bantuan bermula hari ini sehingga 21 November depan akan menyampaikan bantuan pasca bencana kepada mangsa-mangsa tsunami dan gempa bumi Palu yang melanda kawasan itu pada 28 September lalu.

SGMS Faida