Ejen Ali The Movie Kini Tembusi Pasaran Republik Uzbekistan

Filem animasi popular negara, Ejen Ali The Movie melangkah setapak lagi ke hadapan apabila filem ini menembusi pasaran Republik Uzbekistan.

Mula ditayangkan pada 15 Februari 2022, filem animasi ini juga mencipta sejarah menjadi filem cereka pertama alih suara dan dilokalkan di Uzbekistan serta ditayangkan di lebih 25 pawagam di tujuh bandar di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Dato’ Khairul Anwar Salleh, ia selaras dengan matlamat Primeworks Studios untuk sentiasa mempromosikan kandungan program Malaysia yang hebat kepada penonton di peringkat antarabangsa.

Terima kasih kami ucapkan kepada AMEX MEDIA dan World Pictures di atas peluang ini untuk menayangkan filem di Uzbekistan dan menggunakan bahasa tempatan mereka supaya majoriti penonton mereka dapat menikmati filem animasi berkualiti ini tanpa halangan dari segi bahasa.

 

“Sokongan daripada peminat di seluruh dunia sememangnya memberi semangat kepada kami dan tidak sabar untuk melihat reaksi semua menonton penggembaraan Ali seterusnya dalam EJEN ALI Musim 3,” katanya.

Semenatra itu, Ketua Pegawai Eksekutif, WAU Animation and Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin memaklumkan, beliau terkejut dan tidak menyangka bahawa filem animasi ini akan berada di pawagam antarabangsa.

Ia sememangnya diluar dari imaginasi kami. Kami sangat gembira dengan sokongan yang diberikan oleh AMEX MEDIA dan World Pictures dan berharap filem ini dapat menghiburkan hati penonton di pawagam Uzbekistan.

Semoga Ejen Ali dapat menambat hati lebih ramai peminat antarabangsa dengan keunikan wataknya yang dinamik, serta semangatnya untuk  menghadapi cabaran dan sebarang kemungkinan. Kami tidak sabar untuk menunggu peminat-peminat baharu daripada sana dan menjadi sebahagian dalam menyertai misi pengembaraan Ali sebagai perisik dalam siri TV musim ketiga yang akan datang,” jelasnya.

Untuk rekod, EJEN ALI kini menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih dari 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih 3 juta pengikut di laman rasmi YouTube selain berjaya menembusi siaran di lebih 50 buah negara.

 

 

Salma Syahbuddin