Elak Simpan Nombor Telefon Pelakon Gandingan, Ezzanie Jasny Tak ‘Fetish’ Suami Orang

Pelakon meningkat naik, Ezzanie Jasny memberitahu dia sentiasa menjaga batas dengan aktor gandingannya terutama mereka yang sudah berstatus suami orang.

Menurutnya, dia tidak mahu dilabel sebagai perosak rumah tangga dan tidak berminat kepada lelaki yang sudah mempunyai isteri.

“Siapa nak jadi penyondol… kalau boleh minta jauh perkara ni. Saya bukan orang macam itu.

“Saya tak ada nak mendekati suami orang, saya bukan ‘fetish’ suami orang,” ujarnya.

Menerusi drama Layang-Layang Perkahwinan, dia yang bergandingan dengan pelakon Shukri Yahaya mengakui bimbang sekiranya dikaitkan dengan cinta lokasi bersama suami orang.

Namun, dia sentiasa menjaga batas di set penggambaran dan hanya mengikut arahan pengarah sahaja.

“Tapi saya kerja secara profesional. Tak ada nak duduk semeja dengan pelakon lelaki. Bila bekerja, saya kerja macam biasa.

“Pengarah cakap action, cut habis. Apa yang pengarah nak kita buat waktu itu saja,” katanya.

Bagi mengelakkan perkara tak sepatutnya berlaku, Ezzanie juga bertindak untuk tidak menyimpan nombor telefon pelakon gandingannya.

“Saya tak ada nak bermesej-mesej untuk dapatkan keserasian bersama. Saya pun tak ada nak simpan nombor telefon hero-hero saya.

“Kalau nak dapatkan chemistry, semuanya saya buat masa dekat lokasi penggambaran,” jelasnya.

Maya Basir