Lagu Masing Masing Mendunia Di Indonesia, Ernie Zakri Terima Pengiktirafan Daripada RIM – “Terima Kasih Untuk Penghormatan Yang Luar Biasa Ini”

Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri menerima pengiktirafan daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) atas kejayaan lagu hitsnya, Masing Masing di Indonesia.

Menerusi muat naik di Instagram (IG), Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, berkongsi plak penghargaan daripada RIM di majlis rumah terbuka RIM pada Isnin.

Dalam pada itu, pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) itu meluahkan rasa syukur dengan pengiktirafan tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, saya amat berbesar hati menerima anugerah ini. Terima kasih RIM/PPM kerana mengiktiraf usaha kami.

“Terima kasih kepada pasukan saya dan keluarga saya, terutamanya kepada @ade_govinda @universalmusic_my @mymusic.records & @ernienators_official,” tulisnya.

Tambah pelantun lagu Ku Bersuara itu lagi, pengiktirafan tersebut bukan sahaja membuktikan kerja kerasnya selama ini namun menjadi pemangkin untuknya berkarya pada masa hadapan.

“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan masa lalu saya tetapi juga memberi inspirasi kepada usaha masa depan saya.

“Terima kasih sekali lagi untuk penghormatan yang luar biasa ini. InsyaAllah, banyak lagi akan datang. Amin,” coretnya lagi.

Untuk info, pengiktirafan tersebut adalah bagi menghargai karya ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda itu kerana berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu dalam carta radio Indonesia.

Album Aura yang diluncurkan pada November tahun lalu juga mendapat tempat di kalangan pendengar apabila difahamkan hampir mencecah 3 juta stream di platform Spotify.

Khairil Khusyairi