Fahmi Reza Dilarang Keluar Negara – “Nama Aku Dah Blacklist & Aku Tak Boleh Renew Passport”

Pereka grafik dan aktivis terkenal dengan kontroversi, Fahmi Reza memaklumkan dia kini dilarang untuk meninggalkan Malaysia.

Perkongsian tersebut di muat naik di akaun media sosial rasmi miliknya pada malam semalam.

Fahmi yang baru-baru ini mencetuskan kegemparan apabila melukis gambar beruk memakai pakaian kebesaran bangsawan memberitahu namanya telah disenarai hitam oleh pihak Jabatan Imigresen.

Difahamkan, sekatan tersebut dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.

“Aku dah kena blacklist dan dilarang ke luar negara. Semalam aku baru dapat tahu, nama aku dalam senarai blacklist imigresen.

“Aku disekat dari renew pasport, dan disekat dari ke luar negara. Jabatan Imigresen kata sekatan dari Bukit Aman/PDRM,” katanya.

Fahmi berkata, sekatan tersebut telah menyebabkan dia tidak dapat mengikuti pementasan teater yang akan berlangsung di luar negara pada bulan depan.

“Pada bulan Mei nanti aku perlu ke Eropah kerana terlibat dalam satu persembahan teater. Aku tengah usaha untuk dapatkan clearance dari Bukit Aman sebelum flight aku lepas Raya.

“Kalau penjenayah yang dah sabit kesalahan dan ada 42 tuduhan jenayah korupsi pun boleh dapat clearance untuk ke luar negara, harap Bukit Aman boleh bagi aku clearance sekali. Jangan double standard,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen ciapan tersebut mendapati ramai dalam kalangan pengikutnya yang meluahkan rasa tidak puas hati.

Menurut mereka perkara tersebut seakan mempunyai ‘double standard’ yang dimaksudkan ahli politik bebas keluar negara meskipun mempunyai isu.

Aqilah Paharuzi