Famili Duo: Tema ‘Cinta’ Bawa Sabhi Sadhi & Fareed Di Tangga Paling Rendah – “Keseluruhan Persembahan Kali Ini…”

Nasib tidak menyebelahi Sabhi dan Fareed di minggu keempat Famili Duo apabila mendapat markah paling rendah iaitu sebanyak 17 markah dan sekaligus mendapat kedudukan di tangga terakhir.

Menurut juri profesional Mas Idayu, pasangan adik beradik ini gagal memberikan persembahan yang terbaik.

“Kurang kebersamaan daripada Sabhi dan Fareed, keseluruhan persembahan kali ini gagal,” ujar Mas Idayu.

Bagi minggu keempat ini, mereka juga tampak lebih santai di atas pentas dengan props yang lebih minima berbanding minggu-minggu yang lalu bagi membawa genre balada dengan tema ‘Cinta’.

Mengulas tentang strategi mereka yang kurang berjaya minggu ini, Sabhi dan adiknya Fareed yakin bahawa ia bukan rezeki mereka untuk merebut gelaran juara pada tema ‘Cinta’.

“Kami tidak menganggap komen-komen yang diberi oleh para juri adalah perkara negatif. Kami tahu kelemahan vokal kami, dan mungkin tema minggu ini juga tidak menyebelahi kami.

“Ia memerlukan keberanian yang hebat untuk membawakan lagu Dealova yang penuh teknik dalam vokal. Kami juga ingin keluar dari zon keselesaan dan cuba sesuatu yang berbeza pada setiap minggu.

“Mungkin percaturan minggu ini salah, kerana kekuatan Fareed adalah pada rap dan kami ingin merebut peluang untuk menggunakan platform pementasan ini dan menonjolkan vokal Fareed walaupun masih kekurangan,” jelas Sabhi Sadhi.

Tambah Sabhi, Fareed telah banyak belajar teknik vokal untuk persiapan kali ini dan akan memberikan yang terbaik pada minggu hadapan.

“Persembahan berduet perlulah seimbang. Fareed juga telah belajar lebih banyak tentang teknik vokal sejak membuat persiapan untuk minggu ini.

“Kami akan berikan konsert persembahan yang lebih bagus minggu hadapan dan curi semula perhatian juri dan para penonton,” katanya.

Maya Basir