Farah Diana Mahu ‘Pancing’ Ernie Zakri

Penyanyi dan pengacara Farah Diana Anuar mengaku rindu untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian.

Katanya dia ada meluahkan hasrat kepada beberapa rakan penyanyi antaranya Ernie Zakri dan Misha Omar.

“Jujurnya saya memang rindu untuk kembali aktif menyanyi. Saya faham dengan lambakan penyanyi muda, persaingan agak sengit tetapi saya percaya rezeki akan datang kepada mereka yang berusaha.

“Saya merancang untuk mengikuti kelas vokal bersama Ernie Zakri memandangkan saya merupakan antara peminat bakatnya.

“Dalam masa sama saya juga ada bertanya tips dengan Kak Misha Omar bagaimana mengasah kembali suara selepas bergelar ibu,” katanya kepada Xtra ketika ditemui pada majlis pelancaran butik MINAZ  di pusat beli-belah SOGO KL di mana beliau bertindak sebagai pengacara, baru-baru ini.

Sementara itu, penyanyi berusia 34 tahun ini tidak menolak merakam single bergenre ‘jiwang’.

“Kalau kita lihat, ramai penyanyi muda masa kini menyanyikan lagu-lagu berentak jiwang, macam lagu lama. Sebenarnya saya tidak kisah seandainya diberi peluang menyanyikan lagu-lagu begitu. Ia kena dengan jiwa saya. Insha Allah kalau ada peluang saya memang teringin masuk ke studio rakaman dalam masa terdekat,” tambahnya yang kali terakhir merakamkan lagu tema filem Cinderella berjudul Sehati Sejiwa pada tahun 2013.

SGMS Fas