Fasha Sandha Berang Dituduh Buat Pembedahan Bariatrik – “Saya Bagi Masa 24 Jam Tunjuk Bukti”

Pelakon jelita Fasha Sandha menyangkal tuduhan bahawa dirinya membuat pembedahan bariatrik selepas didakwa oleh seseorang individu di Instagram (IG) miliknya.

Menerusi perkongsian di IG, Fasha memberi penjelasan setelah individu tersebut mendakwa pelakon Khilaf Asmara itu membuat pembedahan bariatrik untuk menguruskan badannya di sebuah hospital.

Menurut Fasha, kali terkahir dia ke hospital yang dinyatakan individu tersebut adalah pada Februari 2020 bagi menemani ibunya untuk menjalani pembedahan bariatrik.

“Ibu saya buat bariatrik di situ kerana faktor kesihatan ( sakit lutut yang kronik). Saya yang menemani dia sepanjang di hospital. Lain kali jangan nak sedap menuduh tanpa bukti ya.

“Lain kali dapatkan kesahihan fakta, beserta bukti sebelum nak komen bukan-bukan. Panggil kawan misi awak yang bercakap tu untuk tampil ke hadapan.

“Sebaiknya buatlah ‘research’ dan kajian sebelum buat tuduhan dan andaian,” balas Fasha kepada individu tersebut.

Sehubungan dengan itu, Fasha meminta individu tersebut dan yang berkaitan tampil membuat permohonan maaf kepadanya dalam masa terdekat.

“Kepada penulis ni, atau siapa yang berkaitan dengan penulisan komen ni saya bagi masa 24 jam untuk tampilkan bukti atau buat permohonan maaf secara terbuka @sizuka_momoshi .

“Misi H*** mana yang menyebarkan berita palsu? Saya jaga ibu saya 3 tahun lalu, alih-alih buat cerita saya buat bariatrik.

“Saya harap perkara ni boleh dijadikan pengajaran agar jangan mudah nak gunakan sosial media untuk menyebarkan berita palsu sebelum mendapat kesahihan.

Dalam pada itu, Fasha turut memaklumkan bahawa dia tidak akan menghakimi atau memandang rendah kepada individu yang membuat pembedahan bariatrik kerana beranggapan mungkin suatu hari nanti dia juga akan berbuat demikian.

Khairil Khusyairi