Fazura Duet Dengan Suami Sekali Lagi Dalam Paling Sempurna

Pernah tampil dengan single Cinderella, penyanyi dan pelakon Fazura memaklumkan bakal tampil dengan sebuah lagi lagu duet bersama suami, Fattah Amin.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin memaklumkan mereka bakal tampil dengan single terbaru berjudul Paling Sempurna.

“ Lagu ini akan dimuatkan dalam album terbaharu saya nanti. Ia belum siap sepenuhnya disebabkan jadual kerja saya yang agak padat.

“ Bahagian Fattah sudah siap manakala hanya tunggu masa untuk saya pula masuk studio. Insya Allah, lagu Paling Sempurna akan disiapkan dalam masa terdekat,” katanya kepada XTRA.

Penyanyi berusia 36 tahun ini juga memaklumkan berkongsi keinginan untuk menghasilkan sebuah lagu khas buat suami tercinta.

“ Sebenarnya, sudah lama saya berhasrat membuat lagu untuk Fattah. Jika dia ada lagu ‘Isterimewa’, siapa tahu rezeki saya untuk dedikasi sebuah lagu khas untuk dia pula. Insya Allah, ada rezeki saya pasti akan tulis liriknya sendiri,” katanya tersenyum.

Pasangan selebriti berpengaruh ini berkahwin pada 27 November 2017 dalam sebuah majlis tertutup.

SGMS Faida