Fokus Dalam Pengacaraan, Akhmal Nazri Utamakan Keluarga Berbanding Dunia Lakonan

Pengacara dan pelakon, Akhmal Nazri sudah lama menyepi dalam industri lakonan tanah air selepas mendirikan rumah tangga.

Menurut Akhmal, dia lebih fokus dalam bidang pengacaraan berbanding dunia lakonan akibat kekangan waktu agar tidak mengabaikan keluarga.

“Sekarang ni mungkin ramai orang tanya saya dah tak berlakon ke?

“Dulu kan awak banyak berlakon cerita-cerita sekolah semua kan. Sekarang ni saya lebih bidang pengacaraan dan saya rasa dah empat ke lima tahun juga saya dalam dunia ini.

“Bidang lakonan tu bergantung sebenarnya, sebab bila ada keluarga, ada anak, jadi saya kena pandailah bahagikan masa tu. Mungkin family kena beri 50 peratus, kerja pun kena 50 peratus, sebab kita tahu pekerjaan sebagai pelakon shooting back to back, saya kesian dekat isteri dan anak,” katanya kepada XTRA.

Akhmal ditemui XTRA ketika majlis Terima Kasih Cikgu Didik TV KPM 2022 di Bayswater at KLCC, semalam.

Sementara itu, Akhmal lebih memilih watak jika ditawarkan untuk berlakon kerana menginginkan kepuasan dalam lakonan dan bukannya wang semata-mata.

“Kalau dulu watak apapun saya ambil sebab nak job dan duit.

“Tapi mungkin sekarang apabila dah masuk fasa yang lebih dewasa ni saya lebih terbuka untuk membawa watak-watak yang lebih matang sebenarnya.

“Sebab saya banyak sangat dapat watak-watak remaja sekolah jadi saya teringin nak dapat seperti suami orang ataupun mungkin watak-watak yang dewasa sebab kalau dulu tidak berjambang, sekarang sudah berjambang dah kan, takkan nak bawa watak budak sekolah.” katanya lagi.

 

Halimey Zamal