Gara-Gara Kongsi Video Anak Bersolek ‘Wednesday Look’, Individu Label Wawa Zainal Ahli Neraka

Baru-baru ini, pelakon dan usahawan Wawa Zainal memuat naik sebuah video di akaun Instagram memaparkan anak perempuannya sedang mengenakan solekan seperti watak dalam drama komedi popular Wednesday.

Menerusi video perkongsian tersebut, ramai warganet meninggalkan pelbagai respons di ruangan komen.

Artikel Berkaitan: Anak Wawa Zainal Dipuji Buat Solekan ‘Wednesday Look’, Tapi Ramai Kurang Senang Dengan Lagu Latar – “Tolong Faham Lirik Sebelum…”

Namun begitu, ada segelintir yang meminta Wawa untuk memadam video tersebut kerana menggunakan lagu berjudul Bloody Mary nyanyian Lady Gaga yang didakwa mempunyai maksud mengenai kepercayaan agama Kristian.

Malah, ada yang menegur tindakan Wawa itu sehingga melabelkannya sebagai ahli neraka.

Tidak berdiam diri, Wawa dilihat membalas komen individu itu dengan kata sindiran.

“Pulak dah. Yela kau sorang je ahli syurga,” tempelak Wawa.

Tambah, isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu turut menzahirkan rasa kesalnya dengan segelintir warganet yang mengambil kerja Tuhan sehingga menentukan syurga neraka seseorang.

“Takut la netizen sekarang. Siap tentukan syurga ke neraka,” tulisnya.

Atiqah Johari