Umum tahu, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah lama menarik diri dari menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL).
Apa yang menarik perhatian apabila warganet mula berteka teki mengenai calon yang layak untuk mengganti beliau sekiranya lagu nyanyiannya Anta Permana layak ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, komposer lagu berkenaan, Hael Husaini menafikan dia bakal menggantikan tempat Siti Nurhaliza dan masih belum memutuskan siapa yang bakal menyanyikan lagu itu nanti.
Menurut Siti, pencalonan Muzik-Muzik dan seterusnya pertandingan AJL adalah pertandingan memilih lagu yang terbaik, jadi tidak menjadi isu siapakah yang membawa lagu tersebut asalkan kedua-dua komposer iaitu Hael dan Ezra Kong, dapat memilih penyanyi yang sesuai.
Memetik laporan portal Harian Metro, Hael berkata dia tidak ralat dan menghormati keputusan Siti untuk tidak bertanding tetapi dia tetap merasakan hanya Siti yang boleh menyanyikan lagu itu kerana setiap lagu yang dicipta adalah ‘nyawa dan jiwa penyanyi itu sendiri’.