Hasnol Dedah Punca Bercerai, Dakwa Isteri Mahu Kemasyhuran dan Populariti

Pelantun Laguku Untukmu, Hasnol Hassan Ariff, 52, memaklumkan rumah tangga yang dibina sejak 2010 lalu bakal berkahir Khamis ini.

Menurutnya, konflik rumah tangga bersama isteri, Marina Mohin yang juga merupakan perkahwinan keduanya itu kini menemui titik penamat selepas kedua-duanya bersetuju untuk bercerai.

Bagaimanapun, perpisahan ini adalah secara baik dan tiada permusuhan.

Memetik laporan Harian Metro, sebelum mengambil keputusan untuk berpisah, dia dan isteri pernah duduk berasingan iaitu sekitar 2013, 2015 dan 2016.

“Cuma kami tiada persefahaman. Jodoh kami sampai sini sahaja. Allahualam.

“Selama ini saya dah lama bertahan. Kami pernah duduk berasingan banyak kali pada 2013, 2015 dan 2016 bagi mencari penyelesaian.

“Bagaimanapun saya tetap memendam rasa dan kali ini nekad baiklah masing-masing bawa haluan sendiri. “Saya nak hidup tenang tanpa fikirkan apa-apa lagi selepas ini,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas urusan melafazkan talak selesai, Hasnol bertekad untuk kembali menetap dan menjaga ibunya yang kini berusia 77 tahun di kediaman mereka di Sungai Buloh, Selangor.

Sementara itu, Hasnol turut berkongsi keputusan yang diambilnya ini hanya diketahui oleh Ibu, adik dan rakan karibnya sahaja sebelum diuar-uarkan kepada pihak media.

“Tiada siapa tahu perkara ini kecuali emak, adik dan sahabat karib saya, Shukri Zainal sebelum buat keputusan memberitahu Harian Metro.

“Saya nampak isteri mahukan kemasyhuran dan populariti. Apapun tak mengapa kerana semuanya kehendak Allah belaka.

“Saya tak perlu nak pening-pening lagi selepas Khamis ini,” jelasnya.

Terdahulu, Hasnol pernah berkahwin dengan bekas isteri, Akhmarzuraikha Salleh, 52, dan dikurniakan tiga anak iaitu Aqeef Hayyat, 27, Aqeef Hilman, 24 dan Hanna Aeesya, 18 tahun.

Manakala, perkahwinannya bersama Marina juga turut dikurniakan dengan seorang anak perempuan, Haneesa Maisara yang kini berumur 11 tahun.

Untuk rekod, pada 2015 sebuah portal hiburan melaporkan rumah tangga pasangan ini yang bergolak pada awal tahun itu kembali pulih seperti sedia kala.

Ia berikutan mereka sepakat untuk menyelesaikan kemelut yang dialami secara baik dan memulakan kehidupan baharu.

 

Sumber: Harian Mtero

Salma Syahbuddin