Heliza Helmi, Hazwani Helmi Puji Sifat Baik & Akhlak Nur Fazura – “Patutlah Ramai Orang Kita Sayang Dia”

Penyanyi, pelakon dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi berkongsi keperibadian aktres jelita dan usahawan, Nur Fazura sepanjang menjalani penggambaran filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Menerusi video temu bual di Instagram portal hiburan, kedua adik-beradik ini memuji kebaikan Fazura yang digambarkan mempunyai akhlak sangat tinggi.

Sementara itu, Hazwani sempat menceritakan antara momen manis yang diingati ketika berada di set penggambaran tersebut saat Fazura menegurnya.

“Masa ni Kak Ja (Heliza) tak sampai lagi, semua pelakon otai dah ada jadi saya rasa segan. Tiba-tiba Fazura dari jauh dia datang tegur saya ‘Hazwani’, dia sebut nama pun saya rasa macam nak terbang.

“Lepas tu dia kata pada saya ‘You have a very big aura’.. Masya-Allah, dia sangat humble.

“Sepanjang sesi penggambaran tu Fazura memang sangat banyak membantu kami, malah dia dah macam kakak kami. Seorang yang sangat-sangat supportive.

“No wonder orang kita ramai yang menyayangi Fazura, akhlak dia sangat baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Heliza juga meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk berlakon bersama pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin.

“Ya betul kami rasa sangat bersatu, semoga Allah merahmati Fazura, seronok bergandingan dengan mereka suami isteri ini, Fazura dan Fattah,” akhirnya.

Sebelum ini, Heliza berkata dia melakukan solat istikharah terlebih dahulu sebelum menerima tawaran berlakon filem tersebut.

Berkongsi tentang filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Heliza membawakan watak Siti iaitu seorang pahlawan wanita yang hebat seni mempertahankan diri selain tangkas memanah sambil berkuda.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan ‘spin off’ daripada watak Awang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Selain Heliza Helmi, filem ini turut dibintangi oleh Fattah Amin, Fazura, Wan Hanafi Su, Hazwani Helmi, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

Artikel Berkaitan: “Aksi Berlawan Pun Saya Buat Sendiri” – Tak Sangka Dapat Berkongsi Hobi, Heliza Helmi Solat Istikhrah Sebelum Terima Tawaran Berlakon

Sumber: Majalah Remaja

Aqilah Paharuzi