Hisyam Hamid Tenang ‘LDR’ Dengan Isteri & Keluarga Demi Kerjaya, Tepis Dakwaan Rumah Tangga Bermasalah

Pelakon Hisyam Hamid mengakui bahtera yang dilalui bersama isterinya, Rosmawati Hanafi atau Melrose dan anak-anak kekal bahagia biarpun perlu menjalani hubungan jarak jauh.

Hisyam yang berasal dari Singapura itu berkata, setakat ini isterinya tidak mempunyai sebarang masalah dan sangat memahami sekiranya dirinya perlu digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita.

“Alhamdulillah, tahun ini dah 10 tahun saya berlakon dan tinggal di Malaysia. Mel pun sangat faham dengan kerjaya saya dan dia juga tahu setiap pelakon wanita yang bekerja dengan saya.

“Ibu saya tak nak pindah ke sini, anak-anak masih bersekolah di Singapura. Setakat ini, memang tak pernah jadi masalah utama dalam hubungan kami yang mengaitkan saya dengan pelakon wanita di lokasi. Saya bekerja secara profesional.

“Cuma, saya tak nafikan sekarang kurang berkongsi foto keluarga di media sosial sebab saya sudah tidak aktif di media sosial, mungkin faktor usia. Saya sibuk dengan kerja, penat dan tiada masa nak selalu update,” katanya.

Foto keluarga Hisyam Hamid ketika Aidilfitri. Sumber: Instagram Hisyam Hamid

Malah, Hisyam juga menyatakan dirinya kinilebih selesa untuk berkongsi tentang kerjayanya di media sosial berbanding perkara peribadi yang melibatkan keluarganya.

“Anak sulung saya pun akan ambil peperiksaan O Level tahun ini. Jadi, apabila anak dah besar, dah lain. Kalau dulu, masa kecil orang tengok pun comel, tapi sekarang mereka dah semakin membesar dan saya fikir ada baiknya simpan sedikit untuk diri saya saja.

“Saya pun sangat sibuk dengan kerja hingga masa untuk diri sendiri tiada. Jadi, kalau ada sedikit kelapangan masa itu memang saya luangkan dengan anak-anak yang ketika ini meningkat remaja dan cabaran sangat berbeza,” jelasnya.

Dalam pada itu, aktor yang pernah membintangi drama Ariana Rose itu juga sempat menepis dakwaan yang mengatakan rumah tangganya kini tidak bahagia.

“Saya lalui kehidupan harian seperti biasa. Hubungan kami tiada masalah pun. Sesiapa yang memang betul-betul ikuti saya di Instagram pasti tahu situasi sebenar,” katanya.

Perkara tersebut telah didedahkan oleh Hisyam ketika ditemui di Majlis Pelancaran Anugerah Telenovela Ke-9, Rabu lalu.

Terdahulu, Hisyam dan Rosmawati telah mendirikan rumah tangga pada 2006. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak, Nurish Syameliah, 16, dan Haydeen, 14.

Fatin Nurain