Hormat Artis Lama, Maman Teacher’s Pet Minta Peminat Hargai Pengorbanan Bintang Legenda

Penyanyi Maman Teacher’s Pet terkilan kerana segelintir peminat seperti tidak menghormati legenda tanah air yang sudah lama berkecimpung dalam insdustri seni.

Maman atau nama sebenarnya Rosman Lamri khuatir kerana kebanyakan legenda tanah air tidak dihormati oleh peminat, sedangkan mereka sudah banyak berkorban dan memberikan terbaik dalam industri seni.

“Kita punya legenda macam dah tak ada orang hormat. Sedangkan dulu orang puji lagu sedap.

“Saya dapat tengok kenapa veteran ini tak dihargai. Apa silap mereka ni? Kan orang sekarang suka kutuk sembarangan, kesian artis-artis ni. Mereka pun manusia kot.

“Saya dengar ada artis tu sampai tak boleh dah nak tengok phone. Dalam keadaan umur yang dah macam tu. Dah banyak dia bagi dekat industri, takkan itu netizen bagi dia balik,” jelasnya.

Maman ditemui ketika majlis pelancaran album baharunya yang berjudul Aku di Grand Millenium Hotel, pada Selasa.

Dalam pada itu, Maman juga turut berharap agar peminat dapat mengubah sikap untuk lebih menghargai artis-artis lama yang boleh dilabel sebagai legenda kerana tanpa mereka, industri seni tidak akan berkembang seperti sekarang.

“Saya haraplah kita dapat ubah dan galakkan lagi supaya mereka ni lebih hormat artis-artis lama-lama ni. Kalau bukan kita siapa lagi yang nak hargai kan?” katanya.

Maman yang popular dengan lagu Warisan wanita terakhir itu tampil dengan mengeluarkan album baharu berjudul Aku yang mempersembahkan sebanyak 7 buah lagu iaitu Lafazkan, Rahsia, Kejauhan, Warisan Wanita Terakhir, Ibu, Anak dan Belaian Rindu.

Izzi Farhana

Recent Posts