Ibu kepada pelakon Liyana Jasmay iaitu Datin Habsah Simpon meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 8.30 pagi tadi, hari ini.

Berita duka tersebut dimaklumkan oleh pengurusnya, Norhazwani Jamil yang turut memaklumkan jenazah dibawa ke Masjid Al Iman Kemensah, Ampang, Selangor untuk disembahyangkan.

“Arwah mula lemah semalam selepas mula sakit sejak dua bulan lalu,” katanya.

Terdahulu, menjengah ke profil Instagram Liyana, dia ada membuat perkongsian dengan memuat naik semula foto bersama ibunya.

“Karier saya, perjalanan saya, hidup saya, kamu luangkan masa untuk bersama saya, kamu dedikasi diri kamu untuk saya, tunggu sehingga subuh ketika saya berlakon, dan semuanya yang buat saya gembira.

“Tak pernah I tau ada mak yang teman anak study overseas berbulan-bulan, tinggalkan babah and babah pun sanggup lepaskan kamu semata untuk menjaga saya.

“Saya sangat bertuah ada ibu bapa yang terbaik, seba itulah kamu sungguh isteimewa mama, my sayang cantik mama,” kongsi Liyana.

Sebelum ini, suami Allahyarham, Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia pada Disember 2021 akibat kanser paru-paru.

Selain Liyana, Allahyarham meninggalkan tiga lagi anak iaitu Juzaili Jasmay, 46; Faradilla Jasmay, 43; dan Adriana Jasmay, 41.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi