#ICSYVM Musim Ke-6 Kekal Relevan, Terima Sambut Hangat Penonton!

Program keluarga nombor satu di Malaysia I Can See Your Voice (ICSYVM) masih kekal relevan apabila tampil dengan musim baru bermula 4 Jun depan.

Malah, untuk musim ke-6 ini, peningkatan dari segi penyertaan uji bakat juga bertambah sekaligus membuktikan program ini masih mendapat respons positif daripada peminatnya.

Bahkan, hampir 1,000 penyertaan diterima namun hanya 66 peserta sahaja akan dipilih untuk menjayakan 11 episod ICSYVM 6 nanti.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Jamil Hassan, barisan panel penyiasat dan penyiasat jemputan akan berdepan dengan sedikit ‘masalah’ untuk mencari siapakah penyanyi dan penyamar sebenar.

Jamil Hassan berkongsi perkembangan positif program ICSYVM6.

Ini kerana, ada beberapa peserta yang datang ke sesi uji bakat memiliki pengalaman dan kelebihan dalam bidang nyanyian.

“Untuk musim kalini memang ada penyanyi yang memiliki latar belakang muzik terbaik akan turut serta demi nak ambil peluang untuk terlibat dan timba pengalaman sertai program ini.

“Yang boleh menyanyi tapi rosakkan nyanyian pun ada. Tapi, mujur kami memang ada penilai terbaik yang boleh mengenal pasti taktik sebegitu. Jadi, ia membantu untuk kami pilih yang benar-benar layak.

“Memang sukar memilih 66 peserta terakhir untuk 11 episod yang mana setiap episod akan menampilkan enam peserta,” katanya.

Dalam pada itu, Jamil memaklumkan, musim kali ini juga dijangka lebih meriah kerana menggabungkan barisan panel penyiasat tetap yang lebih  menghiburkan seperti Ropie, Jihan Muse, Baby Shima dan Khir Rahman.

Manakala, penyiasat undangan yang akan menghangatkan suasana adalah, Maryam Younarae, Cik B, Joey Daud, Sweet Qismina, Bell Ngasri, Mek Yun, Fizi Ali, Roy Azman dan ramai lagi.

Sementara itu, tugasan pengacaraan pula akan digalas pelakon dan penyanyi, Izzue Islam dan Shiha Zikir.

Antara barisan panel penyiasat dan juga hos ICSYVM6.

Sekadar info, ICSYVMY6 mempunyai empat pusingan untuk panel jemputan mengenalpasti dan menyingkirkan penyamar bersuara sumbang di tiga pusingan awal.

Jika peserta yang mara ke pusingan akhir adalah penyamar, maka dia berpeluang memenangi hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan pemenang setiap episod akan membawa pulang bekalan produk Cadbury selama setahun.

Manakala, penyanyi sebenar pula berpeluang untuk merakamkan single bersama penyanyi popular tanah air.

Salma Syahbuddin