IMAGI Kembali Dengan Single Puteri Kayangan

Nama mereka mungkin tidak segah band-band rock yang sedia ada di negara kita, namun bagi band rock indie, IMAGI, perkara tersebut bukanlah penghalang bagi mereka untuk terus berkarya.

Terbaharu, IMAGI tampil dengan single keduanya berjudul Puteri Kayangan hasil ciptaan ahlinya sendiri iaitu Amy Bong, Bab dan juga Haziq, terbitan Rocketfuel Indie Space Station (RISS).

IMAGI terdiri daripada 6 orang pemuzik berpengalaman tanah air iaitu Haziq Haminorddin (vokalis), Fitri Johari atau Bab (vokalis/gitaris), Zulhilmi Ali atau Amy Bong (pemain keyboard), Abror Mustafa (pemain bass), Nazmi Muzaffar (gitaris utama) serta Hafidz Safar (pemain dram).

“Terlebih dahulu, syukur Alhamdulillah di atas kelahiran single kedua kami yang berjudul Puteri Kayangan ini setelah lebih setengah tahun menunggu.

“Sambutan terhadap single pertama kami berjudul ‘Merasuk’ adalah baik-baik sahaja dan rata-rata peminat memberitahu mereka tidak sabar untuk mendengar single yang seterusnya,” kata Haziq.

Idea asal di sebalik penciptaan single Puteri Kayangan datang dari Amy Bong sendiri bersama ahli-ahli lainnya yang mahukan sebuah lagu berentak rock alternatif yang moden.

“Sebagai sebuah band, kami sentiasa berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang apakah karya yang bakal dihasilkan seterusnya.

“Amy yang mencadangkan lagu ini yang berkisar tentang seorang gadis yang menjadi rebutan ramai lelaki dan kesemua mereka ingin menjadikan gadis tersebut sebagai kekasih atau isteri dalam kehidupan mereka.

“Jadi kami berenam bergabung idea secara kolektif bagi menambah perisa untuk ‘menyedapkan’ lagi karya kedua ini,” kata Fitri.

Menurut Amy Bong, proses rakaman tidak mengambil masa yang lama di Studio Alibaba Records.

“Kami memperuntukkan selama dua hari untuk merakamkan vokal dengan melodinya sekali.

“Sebenarnya mudah bekerja dengan band sendiri kerana masing-masing sudah memahami rentak kerja sebagai sebuah kumpulan dan ‘chemistry’ yang ada di antara kami menyenangkan lagi proses pembikinan sesebuah lagu itu,” kata Amy.

Sebagai band baharu yang mempunyai pengalaman mendalam dalam bidang muzik, mereka juga perlu peka dengan citarasa pendengar masa kini dan juga kekal relevan,.

“Perkembangan muzik di Malaysia sangat cepat dan kami perlu ‘alert’ agar karya yang dihasilkan boleh diterima oleh pendengar dari pelbagai lapisan umur.

“Jadi, tiada istilah formula rahsia, hanyalah dengan menulis lirik dan membuat susunan lagu yang boleh menarik perhatian masyarakat sekarang dari yang berumur sehinggalah paling muda, dan yang paling penting adalah cara pemasaran atau promosi, serta kuasa viral zaman digital ini,” kata Abror Mustafa.

 

Selain single, video muzik (MV) PUTERI KAYANGAN turut dilancarkan serentak dengan konsep dan jalan cerita yang menarik ibarat sebuah pengembaraan melayari samudera lautan dalam.

“Kami semua menjadi anak kapal yang sedang belayar berebutkan seorang gadis yang rupawan, ada unsur komedi di situ, jadi kalau hendak tahu apakah kesudahannya kenalah tonton MV nanti,” katanya.

Halimey Zamal