Iman Troye, Ariff Bahran, Layla Sania & 13 Artis Suntik Semangat Patriotik

Penyanyi Iman Troye, Ariff Bahran dan Layla Sania bersama 13 artis berbilang kaum yang lain menyuntik semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan menerusi lagu We Are One.

Selain Iman, Bahran dan Layla, penyanyi lain yang sama-sama berpadu suara dalam lagu ciptaan Teng Bee itu ialah Jack Lim, Han Xiiao Aii, Priscilla Abby, Yise Loo, Firdhaus, Juztin Lan, Pauline Tan, Henley Hii, Jie Ying, Daphne Low, Ztish El Nino dan Nadia Pang.

Terbitan syarikat produksi Kumpulan Multimedia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64, ia juga dihasilkan bagi membangkitkan semangat rakyat Malaysia memerangi penularan pandemik Covid-19.

“Bukan mudah untuk menentang pandemik seorang diri. Hanya dengan bersatu padu barulah kita dapat mengharungi tempoh sukar ini. Lagu We Are One menyampaikan mesej agar semua lapisan masyarakat berganding bahu, bersikap berani dan positif berdepan cabaran pandemik,” kata Datuk Steven Lim Boon Siong selaku Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia.

Bagi Teng Bee, lagu We Are One yang dinyanyikan dalam tiga bahasa berjaya mendapat sokongan daripada 15 artis berbilang bangsa dan ini menunjukkan semangat perpaduan semua kaum. Ini juga menandakan usaha rakyat dalam memerangi pandemik.

“Sebenarnya, pandemik ini dapat memberi inspirasi kepada penggiat seni untuk mencipta karya. Diharapkan mereka dapat menggunakan bakat menghasilkan karya bagi menaikkan semangat petugas barisan hadapan, masyarakat dan mereka yang terjejas akibat pandemik. Ini satu positiviti yang bagus untuk menentang wabak,” ujarnya.

Padin