“Ini Rezeki Allah Bagi” – Tak Sampai Sehari, Tudung Wawa Zainal Sold Out, Raih Hasil Jualan RM2.5 Juta!

Pelakon dan usahawan cantik, Wawa Zainal melancarkan koleksi tudung terbaharu di bawah jenama Wawa Scarves.

Apa yang lebih membanggakan, koleksi tudungnya itu telah habis terjual dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas ia dilancarkan semalam.

Menurut Wawa, dia menyifatkan ia adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan juga bukti sokongan pelanggan setianya.

“Alhamdulliah @wawascarve_hq semakin mendapat sambutan… mula-mula buat 20k, lepas tu 50k, sekarang hampir ratusan ribu helai tudung WAWA sold out,” katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada Aeril Zafrel ini meletakkan sasaran yang tinggi apabila keluaran pertama mendapat sambutan.

“Alhamdulillah, untuk keluaran kumpulan pertama (first batch) ini habis terjual. Tipu kalau cakap tak meletakkan sasaran dan harapan tinggi, tapi apabila ia benar-benar terjadi memang bersyukur sangat,” jelasnya.

Kongsinya lagi, bisnes yang diusahakan ini bukan sahaja untuk dirinya malah untuk membantu peniaga kecil menghasilkan pendapatan sendiri.

“Saya percaya dalam pada ada rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain juga. Itu saya cuba tanam dalam diri dan perniagaan ini. Kalau kita dapat bantu mereka yang memerlukan, Insya-Allah rezeki itu akan sentiasa ada.

“Sejujurnya, saya seronok melihat ada ramai lagi orang Melayu kita yang mula mencipta kejayaan atas usaha dan kerja keras mereka,” ujarnya.

Hasil jualan koleksi tudung terbaharunya ini, jumlah pendapatan yang diperoleh dianggarkan berjumlah RM2.5 juta selepas 90,000 helai tudung terjual.

Atiqah Johari