Isteri Mengidam, Yonnyboii Sanggup Usaha Semata Tak Mahu Air Liur Anak Meleleh – “Saya Yakin Dapat Tunaikan…”

Penyanyi rap, Yonnyboii memaklumkan dia akan berusaha menunaikan apa sahaja makanan yang diidamkan isterinya, Nik Nazira Narriman yang kini hamil lapan bulan.

Menurut Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata dia enggan anak yang bakal lahir nanti air liurnya meleleh.

“Dalam tempoh lebih sebulan ini saya akan terus berusaha mencari dan mendapatkan makanan yang diidamkan isteri. Sebabnya, emak saya selalu mengingatkan agar mencari makanan diidamkan itu sampai dapat.

“Maklumlah, kata orang tua-tua kalau isteri hamil tak dapat makanan yang diidamkan itu, nanti air liur anak akan meleleh. Jadi, kalau boleh saya tak mahulah air liur anak kami meleleh-leleh pula nanti.

“Saya akan usaha cari dan cuba dapatkan apa saja isteri idamkan selagi belum sampai masa dia bersalin. Insya-Allah, saya yakin dapat menunaikan semua benda yang didamkan itu,” katanya.

Disoal mengenai jantina anaknya yang bakal lahir kelak, Yonny meluahkan rasa teruja apabila dia dan Nazira sudah mengetahuinya dan mahu merahsiakan terlebih dahulu.

Lebih istimewa, Yonny bakal mengeluarkan lagu istimewa buat cahaya mata sulungnya itu sebelum bayi dilahirkan.

“Insya-Allah, saya dan isteri akan menimang cahaya mata kami pada pertengahan Julai depan. Sekarang, usia kandungan pun sudah mencecah lapan bulan.

“Tak sabar sebenarnya nak jadi ayah, walaupun pada masa sama perasaan sangat berdebar. Tapi, lagu istimewa untuk anak saya memang dalam proses untuk disiapkan,” katanya.

Untuk rekod, Yonny dan  Nazira melangsungkan perkahwinan di Duchess Place, Ampang, pada 20 November 2021 selepas sebulan bertunang.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi