Isteri Yonnyboi Selamat Melahirkan Cahaya Mata Pertama, Diberi Nama Panggilan Kairo

Isteri kepada penyanyi rap, Yonnyboii iaitu Nik Nazira Narriman selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka pada Rabu bersamaan hari Awal Muharram.

Memetik laporan mStar, bayi lelaki seberat tiga kilogram itu lahir secara normal di sebuah hospital di Petaling Jaya pada pukul 4 pagi.

Masih merahsiakan nama anak, pasangan ini memilih nama Kairo sebagai panggilan bayi pertama mereka.

Sementara itu, Nik Nazira meluahkan perasaan teruja dan tidak percaya sudah bergelar seorang ibu.

“Macam tidak percaya dah jadi ibu sekarang. Syukur saya dan bayi kami dalam keadaan sihat.

“Selepas bersalin saya asyik tengok wajah anak sahaja. Satu perasaan yang berbeza buat kami berdua,” ujarnya.

Yonny atau nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin turut memuat naik gambar bayi dan isterinya yang selamat melahirkan di Instagram miliknya.

Berkongsi pengalaman menyambut cahaya mata pertama, Nik Nazira bersyukur diberi rezeki tidak sakit hendak bersalin seperti mana kebiasaan.

Malah, dia dan Yonny sempat menghadiri majlis tayangan perdana filem Barbie sebelum melahirkan anak.

“Sya memang tidak rasa sakit nak bersalin. Apabila tiba di hospital pun bukaan telah besar dan bayi dilahirkan secara normal.

“Baby nak beri peluang ibunya melaram dulu sebelum bersalin,” jelasnya.

Untuk rekod, Yonny dan Nik Nazira mendirikan rumah tangga pada 20 November 2021.

Maya Basir