Isu Langgar Kontrak, Amelia Henderson Tak Perlu Bayar RM200,000 Kepada A Aida

Pelakon Amelia Henderson berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon selain meneliti segala rekod rayuan secara maksimum dan hujah kedua-dua pihak.

Namun, mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini.

Terdahulu, pelakon drama Pengantin 100 Hari itu memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd pada 18 April lalu.

Pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi pengarah terkenal itu.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Penghakiman di Mahkamah Sesyen itu mengatakan mahkamah mendapati Amelia diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.

Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan Diterima Atau Tidak? Nasib Amelia Henderson Bakal Diketahui Jumaat Ini

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Ada Keyakinan & Saya Tidak Takut!”- Yakin Tidak Bersalah, Amelia Henderson Mahu Terus Lawan A Aida

ARTIKEL BERKAITAN: Amelia Henderson Diperintah Bayar Lebih RM200,000… A Aida Luah Rasa Syukur! – “Dulu Ajak Berdamai Tak Nak, Syukur Kemenangan Pada Saya”

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi