Isu MH370 & Hina Malaysia, Jocelyn Chia Label Netizen Terlalu Serius?

Sejak semalam nama Jocelyn Chia tular disemua platform media sosial apabila pelawak dari Singapura itu menjadikan Malaysia dan tragedi MH370 sebagai bahan jenakanya.

Menerusi perkongsian video berdurasi lebih satu minit itu, Jocelyn pada awalnya tampil membuat perbandingan antara Malaysia dan Singapura sebelum terus mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap Malaysia selepas bertanyakan kepada salah seorang audiensnya yang berasal dari negara ini.

Sedar dengan kecaman yang diterima sebaik sahaja video tersebut tular, pelawak itu bagaimanapun menganggap netizen Malaysia terlalu serius terhadap lawak jenakanya menenrusi komen balas di Instagram miliknya pada Rabu.

Lebih mengejutkan, Jocelyn juga menganggap tragedi yang menimpa pesawat MH370 sebagai peristiwa lama dan seiring masa perkara itu boleh disifatkan sebagai komedi.

Sebelum ini, kenyataan pelawak itu mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya menganggap tindakan Jocelyn sebagai ‘kurang ajar’ dan bersifat kebencian, apatah lagi dia seakan tidak memiliki rasa empati terutamanya kepada keluarga mangsa tragedi MH370.

Dan difahamkan, hari ini Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon memaklumkan, kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau Jocelyn.

 

Salma Syahbuddin