Categories: HiburanTrending

Isu Rupa Paras Tiada Kesudahan, Namron Minta Pelakon Abaikan Kritikan Netizen – “Pedulikan Apa Orang Nak Cakap”

Pengarah dan pelakon veteran, Namron mengaku isu rupa paras pelakon sering dibangkitkan dalam industri hiburan.

Dedahnya, isu tersebut telah lama timbul sejak tahun 80-an dan 90-an lagi serta ia seakan-akan tiada kesudahan.

Menurut Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza-beza.

“Bagi saya isu ini tak pernah habis dimainkan. Sekejap ia tenggelam lepas itu timbul balik. Seingat saya dari tahun 80 dan 90-an ia sudah dimainkan isu ini.

“Ada masa ditukar sikit plotnya menjadi wajah komersial dengan tak komersial seperti isu tiada perwatakan menarik,” katanya.

Jemu dengan isu tersebut, Namron menasihati pelakon untuk terus berkarya serta abaikan kecaman netizen.

“Semuanya sama saja, ulang alik benda yang sama. Pada pandangan saya, pelakon-pelakon kita teruskan saja bekerja dan pedulikan apa orang nak cakap,” ujarnya.

Dalam pada itu, berbeza dengan zaman dahulu, Namron berkata, pelakon pada hari ini turut berdepan dengan kritikan netizen yang sering mencetuskan kontroversi.

“Apa lagi di zaman media sosial ni, artis dan pelakon bukan hanya berdepan dengan wartawan hiburan tetapi juga netizen yang selalu mencari isu. Nanti bila ada isu lain, isu ni akan dilupakan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Syamir Shafie